Beregu wanita negara tewas dengan Korea

Beregu wanita negara, Anna Ching-Teoh Mei Xing terpaksa akur tewas straight set kepada pasangan Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee 14-21, 13-21 di Terbuka Malaysia yang berlangsung di Axiata Arena, Kuala Lumpur.

Menurut Anna-Mei Xing, mereka menyedari lawan berada di ranking terbaik dunia dan mereka cuba memberi tentangan dalam permainan termasuk merencana beberapa taktikal tetapi lawan lebih bersedia.

“Saya rasa mereka dapat baca permainan kita hari ini lebih cepat dan mereka guna strategi dengan baik untuk menyerang kami balik. Hari ini permainan mereka lebih baik dari kami.

“Kekuatan dan kelajuan mereka lagi cepat dan kuat. Jadi kami akan tingkatkan prestasi ke tahap lebih baik selepas ini,” kata mereka selepas pusingan pertama Terbuka Malaysia, pada Rabu.

Tambah mereka, pertukaran strategi yang dilakukan adalah dengan harapan mampu untuk mendapatkan mata tetapi pasukan lawan juga melakukan perkara sama dengan menukar strategi.

Walaubagaimanapun, mereka tetap akur dengan keputusan kekalahan ini dan akan mengambil pengajaran untuk meningkatkan presasi untuk perlawanan seterusnya.

Sementara itu, Anna turut mengulas berkenaan status kecederaan dialami sebelum ini dan kini dia semakin selesa berada di dalam gelanggang selepas kembali daripada rehat panjang.

“Kecederaan lutut saya rasa lebih baik daripada beberapa bulan sebelum ini. Dari segi pergerakan lebih baik dan paling penting tidak rasa sakit lagi dan ini semakin baik untuk pulih dari kecederaan.

“Buat masa sekarang, saya tidak sertai dua kejohanan berturut-turut selepas ini kerana kecederaan saya masih belum cergas 100 peratus (dari segi permainan di dalam gelanggang) dan sebab kita tidak boleh sertai kejohanan back to back,” katanya.

Anna sebelum ini terpaksa berehat selama setahun selepas mengalami kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) di bahagian lutut kanannya sehingga terpaksa menjalani pembedahan pada September tahun lalu.

Dilaporkan, beregu wanita negara yang berada di ranking ke-64 dunia itu tidak akan menyertai Terbuka India dan Master Indonesia sebaliknya bertanding di Master Thailand hujung Januari ini.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat