METMalaysia ramal luruan angin timuran hingga Selasa

Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) meramalkan luruan angin timuran berlaku sehingga Selasa minggu depan berdasarkan analisis model cuaca.

Ketua Pengarah METMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah menerusi hantaran di laman X berkata, keadaan ini mengakibatkan peningkatan kelembapan yang berpotensi membawa hujan berterusan.

Antara kawasan yang dijangka akan mengalami hujan berterusan termasuk Sarawak, timur Sabah dan kawasan timur Semenanjung.

Dalam pada itu, angin kencang dan laut bergelora juga dijangka akan berlaku di Laut China Selatan.

“Pihak METMalaysia telah mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada di Sarawak bermula esok hingga Jumaat.

“Ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang berpotensi akan berlaku pada waktu petang hingga malam buat negeri-negeri lain,” katanya.

Buat rujukan, orang awam boleh merujuk laman web dan akaun media sosial rasmi METMalaysia untuk mengetahui maklumat cuaca yang terkini dan sahih.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat