Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza meraikan ulang tahun kelahiran dengan cara berbeza tahun ini, iaitu mengerjakan ibarah umrah ke Tanah Suci pada Rabu.
Siti atau nama lengkapnya Siti Nurhaliza Taruddin, memberitahu menjejakkan kaki ke sana bagi menyambut hari lahir beliau yang ke-45.
“Alhamdulillah, saya pasti siapa sahaja yang pernah pergi ke Tanah Suci pasti akan merinduinya. Ada satu perasaan rindu yang memanggil-manggil.
“Saya tidak buat persediaan awal, cuma saya fikir, ada masa yang cukup, terus saya buat keputusan untuk ke sana. Saya kata, impian tahun ini nak sambut hari lahir di Mekah dan Madinah.
“Saya minta izin suami (Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa) dan dia kata okey. Jadi saya bawa sekali kedua-dua anak saya (Aafiyah dan Afwa), ibu dan ibu mentua saya ke sana,” katanya.
Dalam pada itu, penyanyi lagu Biarlah Rahsia itu turut berkongsi beberapa video beliau bersama ahli keluarga menunaikan ibadah di Tanah Suci di Instagram.
Meskipun beliau melakukan perkara mulia di sisi Islam, namun tetap juga ada khalayak yang tidak berpuas hati dengan kelebihan dimiliki beliau iaitu berkemampuan menunaikan umrah beberapa kali.
Mereka beranggapan golongan yang berkemampuan hanya sekadar melancong semata-mata.
Tidak melatah dengan kata-kata negatif, bagi Siti segalanya bergantung kepada niat dan tujuan seseorang itu ke Tanah Suci.
“Seperti saya, tujuan kali ini sebab niat untuk menyambut hari lahir dan bawa keluarga ke sana. Alhamdulillah, kalau dapat pergi umrah atau mengerjakan haji lebih daripada sekali, itu adalah rezeki.
“Apa-apa pun semuanya dengan panggilan Allah. Kalau tidak dipanggil untuk jadi tetamu-Nya, tidak akan sampai juga. Ada orang dah buat persiapan dari awal, tapi saat-saat akhir ada saja halangan seperti visa tidak diluluskan atau kena tipu dengan ejen.
“Jadi pada mereka yang komen atau apa sahaja, fikirlah semula sebab apa seseorang itu boleh sampai ke sana. Doakan yang baik-baik sahaja,” katanya.
Untuk rekod, tahun lalu, ibu kepada dua cahaya mata itu menunaikan umrah pada bulan Ramadan.
Baca juga: