WHO gesa Israel buka laluan bantuan ke Gaza

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggesa rejim Israel untuk membenarkan akses WHO dan agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menyalurkan bantuan kecemasan di Semenanjung Gaza.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, situasi kemanusiaan di Gaza ketika ini tidak dapat digambarkan.

“Pasukan kami terpaksa membatalkan sebanyak enam misi yang dirancang ke utara Gaza sejak 26 Disember lalu.

“Permintaan kami untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan ditolak dan jaminan laluan yang selamat tidak diberikan kepada kami menyebabkan misi yang dirancang pada Rabu turut dibatalkan,” katanya pada sidang akhbar di Geneva.

Tedros turut berkata penghantaran bantuan kemanusiaan di Gaza tetap terus berhadapan dengan cabaran yang tidak dapat diatasi.

“WHO dan agensi lain tidak dapat memberi bantuan yang diperlukan kerana berlakunya peperangan sengit, pengeboman, sekatan atas pergerakan, kekurangan bahan api dan gangguan komunikasi.

“Kami mempunyai segala bekalan, rancangan dan pasukan namun kami tidak mempunyai akses. Jsuteru, kami menyeru pihak Israel untuk meluluskan permintaan WHO dan rakan kongsi lain untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan,” ujarnya.

Tedros menambah hanya 15 hospital di wilayah Palestin yang berfungsi walaupun hanya sebahagian sahaja.

Hospital di sana turut mengalami kekurangan bekalan air bersih untuk sanitasi serta keadaan hidup yang sesak di jalur pantai mewujudkan persekitaran untuk penyakit merebak.

Orang ramai di Gaza juga dikatakan berbaris selama berjam-jam untuk mendapatkan sedikit air yang berkemungkinan tidak bersih atau roti yang tidak cukup berkhasiat.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat