Ada apa dengan ‘Made In Malaysia’ pada palam pintu pesawat Alaska Airlines?

Insiden palam pintu pesawat Alaska Airlines Boeing 737 MAX 9 yang tercabut secara tiba-tiba dalam kejadian yang berlaku pada 5 Januari kini mencuri perhatian apabila tertera tulisan tangan Made In Malaysia iaitu Buatan Malaysia bersama butiran lain pada bahagian bawah objek tersebut.

Menurut laman berita antarabangsa, Oregon Public Broadcasting (OPB), seorang lelaki, Bob Sauer, yang juga merupakan guru sekolah dikatakan menjumpai palam pintu berkenaan yang jatuh di laman belakang kediamannya di pinggir bandar Oregon, Amerika Syarikat.

Dalam pada itu, Lembaga Keselamatan Pengangkutan Negara (NTSB) yang melakukan siasatan turut menyenaraikan kawasan terbabit sebagai salah lokasi berkemungkinan objek berkenaan akan terjatuh.

Bagaimanapun, apa yang menarik perhatian apabila segala maklumat seperti nombor siri dan butiran pembuatan palam pintu itu dilihat seperti ditulis dengan menggunakan tulisan tangan menggunakan penanda (marker) dakwat kekal dengan tertera kenyataan Made In Malaysia.

Pada masa sama media antarabangsa itu turut melaporkan NTSB masih dalam siasatan lanjut bagi menjejaki ‘sejarah’ palam pintu pesawat itu.

Sebelum ini, penerbangan yang membawa 177 orang termasuk anak kapal terpaksa melakukan pendaratan cemas di Oregon pada 5 Januari lalu.

Penerbangan itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Portland kira-kira pukul 5 petang waktu tempatan sebelum mendarat semula dengan selamat selepas kru melaporkan isu tekanan.

Pintu itu dipercayai tercabut pada altitud 16,000 kaki (4,877 meter) sebelum terjatuh di laman belakang rumah Sauer.

Untuk info, Syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines, kini mengendalikan tiga pesawat Boeing 737 MAX 8 dan menjangkakan ketibaan enam pesawat lagi tahun ini.

Ia adalah varian daripada pesawat Boeing 737 MAX 9.

Baca juga: