Dalam usaha untuk membaik pulih masalah bekalan air, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), pada Jumaat mengesan berlaku kebocoran melibatkan saluran paip di dasar Sungai Perai.
Kata PBAPP, siasatan sedang dilakukan bagi mengenal pasti lokasi dan punca satu kebocoran itu selain masih melaksanakan pemeriksaan ke atas paip bocor di bahagian yang sudah dibaiki pada Rabu.
“Walaupun berlaku kebocoran, PBAPP akan terus mengepam air melalui saluran paip buat masa ini dan ia mungkin akan ditutup kemudian untuk kerja-kerja pembaikan kecemasan.
“Keadaan ini masih dalam siasatan. PBAPP akan berkongsi hasilnya apabila ia mempunyai maklumat dan data yang tepat,” katanya dalam kenyataan yang disiar menerusi laman Facebook pada hari ini.
Sebelum ini, PBAPP memaklumkan kerja membaiki saluran paip di dasar Sungai Perai siap dengan ujian sedang dilakukan untuk meningkatkan tekanan pam air terawat secara beransur-ansur pada bahagian yang dibaiki.
PBAPP turut meminta pengguna bagi kategori pemulihan tahap dua yang beransur-ansur menerima air, pada Jumaat dapat melakukan menyimpan air.
Terdahulu, PBAPP memaklumkan pemulihan tahap dua bermula sejak 6 pagi, pada Jumaat dengan pengepaman optimum air terawat dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua dan menyasarkan proses pemulihan itu selesai menjelang 6 pagi, pada Sabtu.
Pemulihan tahap dua membabitkan 495,065 pengguna meliputi 84 peratus daripada 590,000 pengguna terjejas di Seberang Perai dan pulau berikutan pembaikan paip di LRA Sungai Dua Rabu lalu.
Baca juga: