Tiga beradik dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kota Bharu, pada Khamis, atas pertuduhan membunuh seorang lelaki di Machang, empat tahun lalu.
Hakim Datuk Mohamad Abazafree Mohd Abbas membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie terhadap ketiga-tiga tertuduh, Mohd Rizal Seman, 40, Muhamad Zarudin, 30, serta Mohd Azam, 26.
Mohamad Abazafree berkata, pihaknya mengambil kira beberapa faktor sebelum membuat keputusan.
“Mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal mengemukakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang mana ianya sangat penting bagi membolehkan mahkamah mengetahui perjalanan cerita kes berkenaan.
“Malah, saksi utama yang juga adik ipar si mati membuat kenyataan bercanggah ketika pemeriksaan balas dilakukan selain tiada saksi lain dikemukakan bagi menunjukkan ketiga-tiga tertuduh adalah satu kumpulan yang menyertai perhimpunan haram.
“Oleh itu, mahkamah memutuskan ketiga-tiga tertuduh dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil untuk membela diri,” katanya lapor Harian Metro.
Sebelum ini media melaporkan, ketiga-tiga tertuduh bersama seorang lagi yang masih bebas dan seorang sudah meninggal dunia didakwa membunuh Kamsani Mohamed, 39, dalam perhimpunan di sebuah stesen minyak, Batu 31, Jalan Machang-Kuala Krai, Machang antara jam 12.30 malam hingga 1.30 pagi, 27 Januari 2020.
Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 149 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Aida Fatimah Abd Jabar dan ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam Muhammad Hasif Hasan dan Nik Nur Adilla Nik Sauki.
Baca juga: