Lelaki warga India antara penumpang bas ekspres terbakar meninggal dunia

Seorang lagi mangsa kemalangan bas ekspres terbakar di Kilometer 198 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara awal pagi Sabtu, dilaporkan meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu, berkata mangsa, Peer Mohamed Kannudeen, 70, yang melecur 80 peratus disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Melaka pada pukul 8.57 malam.

Katanya, lelaki berasal dari Tamil Nadu, India itu adalah datuk kepada mangsa pertama, Yafarah Taj Fakrudin Hussaini, 17, yang meninggal dunia di Hospital Alor Gajah pagi Sabtu.

“Remaja itu akan dikebumikan di Kuala Ina Alor gajah pada Ahad,” katanya ketika dihubungi.

Arshad berkata, ibu remaja itu, Anissa Begum Fakrudin Hussaini, 45, yang melecur 50 peratus masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka.

Dua lagi mangsa iaitu kakak dan nenek remaja itu yang cedera ringan dibenarkan keluar dari hospital selepas menerima rawatan pada Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.50 pagi Sabtu, seorang pelancong wanita maut selepas bas ekspres dinaiki terbakar dalam kemalangan di Kilometer 198, Lebuh Raya Utara Selatan arah Utara.

Bas berkenaan dalam perjalanan dari Singapura ke Kuala Lumpur membawa 28 penumpang warga Malaysia, Taiwan, India, Singapura dan United Kingdom.

Lapor Harian Metro, baki 23 penumpang lagi terselamat dan tidak mengalami kecederaan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat