Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengharapkan nilai pelaburan negeri itu akan meningkat sebanyak RM5 bilion tahun ini sekali gus menjadikan angkanya kepada RM50 bilion berbanding RM45 bilion tahun lalu.
Katanya, meskipun kedengaran agak tinggi, namun beliau yakin sasaran tersebut tetap dapat dicapai berdasarkan perkembangan sektor ekonomi yang semakin baik.
Tidak hanya itu, penambahan sumbangan Keluara Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri sehingga 0.5 peratus pada tahun ini.
“Kita meletakkan nilai yang agak tinggi sedikit sampai ke RM50 bilion dan Insya-Allah kita boleh capai. Tahun lalu keseluruhan lebih RM45 bilion.
“Jika minimum kita dapat meningkatkan 0.4 peratus hingga 0.5 peratus daripada apa yang kita sumbangkan sekarang, makna daripada lebih 25 peratus mungkin kepada sehingga 26 peratus sumbangan KDNK negara.
“Tetapi saya hendak lihat dahulu (angka rasmi) tahun 2023 sebab data belum dikeluarkan lagi oleh pihak Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berkaitan prestasi ekonomi dan pelaburan negeri,” katanya.
Beliau memberi reaksi demikian ketika menyempurnakan Majlis Amanat Tahun Baharu Menteri Besar Selangor di Auditorium Dewan Jubli Perak, SUK, Shah Alam pada Isnin.
Pada 2022, Selangor mencatatkan sejarah tersendiri apabila sumbangan negeri itu kepada KDNK Malaysia melebihi satu perempat ekonomi negara iaitu pada kadar 25.5 peratus, dengan kenaikan sebanyak 0.7 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Baca juga: