Penyanyi dan vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh mengakui terkesan apabila terpaksa menyerahkan anak angkatnya, Musa kepada bekas isteri, Mizz Nina pada Sabtu.
Noh atau nama lengkapnya, Mohammad Noh Salleh, 37, memberitahu, bekas isterinya itu hadir bersama suami dan polis selain turut disertai oleh beberapa individu tidak dikenali telah datang ke kediamannya dengan tujuan mengambil Musa.
Katanya, dia menghormati perintah mahkamah meskipun berasa berat hati untuk berbuat demikian.
“Dalam lebih kurang 8.30 malam, pihak Mizz Nina telah pun hadir di rumah saya bersama-sama suami beliau serta pihak polis dan beberapa orang lain yang tidak dikenali untuk tujuan mengambil Musa dari Jagaan saya dengan perintah interim (perintah jagaan sementara) dari mahkamah syariah sebelum sesi mediasi mahkamah syariah.
“Saya faham dan bagi menghormati perintah mahkmah, saya dengan terpaksa dan berat hati menyerahkan Musa kembali dan akan meminta nasihat peguam saya.
“Hanya Tuhan sahaja yang mengetahui betapa hancurnya hati saya semalam,” katanya dalam satu kenyataan yang dikongsikan di Instagram.
Dalam pada itu, Noh turut memberitahu, tiada sebarang insiden perebutan berlaku ketika Mizz Nina atau nama sebenarnya, Shazrina Azman, 44, hadir ke rumahnya.
“Saya masih percaya dengan jalan perdamaian dan apa yang penting adalah kesihatan mental dan fizikal Musa.
“Saya harap kenyataan ini jeals dan tiada sebarang spekulasi daripada mana-aman pihak dan saya juga berterima kasih atas segala doa daripada kalian,” katanya.
Noh dan Mizz Nina berkahwin pada tahun 2011 sebelum pasangan itu sah bercerai pada Ogos 2022.
Mereka bagaimanapun, memaklumkan tentang kehadiran Musa secara rasmi sekitar April 2022.
Dalam pada itu, masing-masing turut mendirikan rumah tangga dengan pilihan mereka iaitu Mizz Nina berkahwin dengan Essam Muhammad pada Jun 2023 manakala Noh bersama Fatin Athira pada September 2023.
Baca juga: