Tidak terbayang dengan kata-kata apabila melihat hampir kesemua wang simpanan yang ada di dalam bank lesap dalam sekelip mata.
Begitulah keadaan yang dialami oleh pelakon, Dynas Mokhtar apabila dia mendakwa hampir kesemua wang simpanannya di sebuah institusi perbankan hilang.
Kata Dynas atau nama lengkapnya Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar, 40, dia menyedari perkara itu ketika ingin membuat pembayaran gaji pengurusnya sebaik selesai sesi pengambaran.
“Tujuan saya memuat naik video ini kerana saya tidak mahu perkara sama turut dialami oleh individu lain di luar sana. Saya telah kehilangan hampir kesemua wang simpanan.
“Ketika saya ingin membayar gaji pengurus, masa itu saya sedar boleh dikatakan hampir semua duit simpanan saya hilang secara tiba-tiba.
“Apabila saya melihat penyata, saya dapati banyak berlaku transaksi menggunakan mata wang asing,” katanya dalam satu video di Instagram.
Dynas bagaimanapun, tidak mengulas lanjut mengenai perkara itu kerana siasatan polis sedang dilakukan.
“Saya tidak dapat untuk dedahkan banyak perkara kerana ini masih dalam peringkat siasatan. Saya juga sudah membuat laporan polis.
“Saya mengharapkan agar kalian dapat mendoakan agar saya akan dapat kembali wang yang hilang itu,” katanya.
Dalam pada itu, pelakon filem Bukan Cinta Malaikat itu turut meluahkan kebimbangan terhadap penggunaan akaun simpanan di bank dan penggunaan kad debit termasuk sistem pembayaran dalam talian.
“Saya tidak pernah menggunakan kad kredit kerana mengharapkan agar setiap pembelian boleh dibuat secara tunai tanpa berhutang.
“Disebabkan itu saya membuat simpanan, tetapi kini perkara sebaliknya pula berlaku. Jadi saya nasihatkan kepada orang ramai agar berhati-hati dalam membuat simpanan wang.
“Sebaiknya simpan di tempat yang lebih selamat dan tidak mempunyai kad debit yang boleh diakses. Saya tidak tahu bagaimana keadaan sekarang yang kini menuju ke arah bayaran tanpa tunai dan dalam talian.
“Kad debit itu juga perlu disimpan dengan baik, kerana jika ada pihak yang klon, itu saja duit simpanan yang kita ada. Saya tidak tahu lagi, adakah semua ini akan selamat atau tidak,” katanya.
Baca juga: