Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, memaklumkan Pusat Panggilan Kerajaan Malaysia (MyGCC) kini berada di bawah Kementerian Komunikasi, yang sebelumnya berada di bawah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU).
Fahmi mengatakan pemindahan tersebut dilakukan kerana agensi tersebut memainkan peranan yang penting sebagai komunikasi pertama antara kerajaan dan rakyat bagi mendapatkan maklumat dan mengemukakan aduan.
“Pusat Panggilan MyGCC menerima kira-kira 955,867 transaksi sepanjang tahun lepas menerusi pelbagai platform, tetapi 99.26 peratus dibuat melalui panggilan telefon.
“Kebanyakan panggilan dibuat berkaitan dengan Kementerian Dalam Negeri dan agensi di bawahnya seperti Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara, selain Jabatan Pengangkutan Jalan,” katanya ketika melawat MyGCC, Cyberjaya menurut laporan Bernama.
Fahmi turut menyatakan beliau sedang meminta pihak MyGCC untuk menambah baik platform yang boleh digunakan untuk mengakses MyGCC seperti WhatsApp dan Telegram.
Ini kerana platform tersebut masih belum tersedia untuk akses MyGCC yang boleh dihubungi melalui panggilan suara, Sistem Pesanan Ringkas (SMS), e-mel, Facebook, X, Instagram dan aplikasi Chatbot SITI@MyGCC.
Selain MyGCC, terdapat beberapa agensi yang dipindahkan ke kementerian lain seperti MyDIGITAL yang sebelumnya berada di bawah Kementerian Ekonomi kini dipindahkan ke Kementerian Digital.
Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR), Jabatan Penerangan (JaPen) dan beberapa agensi berkaitan pula masih kekal berada di bawah Kementerian Komunikasi.
Lawatan Fahmi ke MyGCC turut diiringi timbalannya, Teo Nie Ching dan Ketua Setiausaha Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.
Baca juga: