Pelanggan berang harga ayam goreng kunyit tahap ‘kayangan’ di Langkawi

Seorang peniaga makanan didakwa menjual hidangan ayam goreng kunyit pada harga yang melampau iaitu RM20 sepinggan.

Premis yang terletak di Pantai Chenang, Langkawi tular apabila salah seorang pelanggannya meluahkan rasa tidak puas hati dan memuat naik gambar resit pesanannya di Facebook.

“Nasi putih berharga RM3, ayam goreng kunyit untuk seorang makan RM20, aiar sejuk RM1, jumlah keseluruhan RM24 tak berbaloi.

“Saya post sebab saya tak puas hati harga ayam goreng kunyit sampai macam tu sekali area Chenang, Langkawi,” luahnya di Facebook.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah, telah mengeluarkan satu Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) terhadap premis kedai makan itu.

Pengarah KPDN Kedah, Affendi Rajini Kanth, berkata notis tersebut dikeluarkan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, pada Isnin dan peniaga terbabit perlu mengemukakan maklumat berhubung penyediaan hidangan makanan itu dalam masa dua hari bekerja.

“Siasatan telah dijalankan di premis yang diadu, (pegawai penguatkuasaan) telah berjumpa dengan pemilik premis.

“Pemeriksaan menyeluruh di dalam premis mendapati buku menu disediakan kepada pelanggannya.

“Apa-apa keputusan perlu tengok pengesahan NPMB, peniaga perlu menunjukkan nilai atau kos dengan harga makanan itu,” katanya.

Harian Metro melaporkan, pengguna perlu sentiasa menyemak harga dan Akta Pelindungan Pengguna 1999 memberikan hak kepada pengguna untuk mendapatkan maklumat berhubung sesuatu barangan termasuk hidangan makanan sebelum membuat pesanan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat