11 transaksi mencurigakan, duit Dynas Mokhtar hilang RM29,313

Polis mengesahkan menerima laporan mengenai kehilangan wang dalam bank milik pelakon Dynas Mokhtar sebanyak RM29,313.20.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, kejadian tersebut mula disedari ketika artis terbabit membuat semakan penyata akaun peribadi pada 13 Januari lalu.

“Sebanyak 11 transaksi dibuat mulai 8 Januari hingga 12 Januari lalu yang dibuat tanpa pengetahuan mangsa berjumlah RM29,313.20.

“Mangsa membuat laporan polis menafikan dan menyatakan bahawa tidak pernah memberikan butiran peribadi perbankan kepada mana-mana pihak ketiga atau menerima sebarang pesanan ringkas nombor OTP (one time password) bagi kesemua transkasi tersebut.

“Kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 4 (1) Akta Jenayah Komputer 1997 (Capaian Tanpa Kuasa),” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan agar orang ramai tidak mencetuskan spekulasi terhadap perkara tersebut.

“Orang ramai dinasihatkan tidak menimbulkan sebarang spekulasi berkaitan kes ini,” katanya.

Beliau turut memberitahu, sebarang maklumat berkaitan jenayah atau aktiviti yang mencurigakan boleh hubungi talian Hotline Polis Brickfields 03 229 7922, Hotline Polis Kuala Lumpur 03 2146 0584/0585.  

Sebelum ini, Dynas memuat naik video di Instagram mendakwa hampir kesemua wang simpannya hilang ketika ingin membuat pembayaran gaji pengurus.

Baca juga: