Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar menyatakan Bursa Malaysia dijangkan akan mempunyai prestasi lebih baik pada tahun ini.
Ini kerana jangkaan aliran masuk pelabur asing mencecah kira-kira RM448 juta dalam tempoh dua minggu pertama 2024.
“Permulaan tahun ini dilihat baik dengan purata nilai dagangan harian (ADV) meningkat kepada RM3.25 bilion dalam tempoh 15 hari bulan ini, lebih tinggi berbanding RM2.06 bilion ADV bagi keseluruhan 2023.
“Aliran masuk pelabur asing juga membolehkan pasaran bertambah baik kerana pada Ahad FBM KLCI mencecah paras psikologi 1,500,” katanya pada pelancaran Bursa Malaysia sebagai bursa aset pelbagai dan logo baharu Bursa Malaysia pada Selasa, lapor Berita Harian.
Abdul Wahid turut berkata Bursa Malaysia mendapat perhatian para pelabur asing, menyumbang 29.2 peratus daripada penyertaan dagangan pasaran sekuriti bursa pada 2023 dari segi ADV berbanding 26.8 peratus pada 2022.
Beliau menambah, penanda aras FBM KLCI mencatatkan lantunan yang kukuh selepas prestasi separuh pertama 2023 yang lemah, melonjak daripada 1,377 mata pada Jun 2023 untuk menutup tahun pada 1,454.66 mata.
“Malaysia mempamerkan aliran keluar asing kedua terendah di belakang Indonesia dalam kalangan pasaran sekuriti setara serantau pada keseluruhan 2023,” ujarnya.
FBM KLCI kini dinilai pada nisbah harga kepada pendapatan hadapan sebanyak 13.3 kali, lebih rendah berbanding purata 10 tahun kira-kira 15.5 kali.
Beliau menyimpulkan pihaknya menjangka untuk melihat lebih banyak minat pelabur pada masa hadapan.
Baca juga: