Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) merekodkan kutipan zakat dan wang tunai berjumlah RM1.03 bilion pada tahun 2023.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohad Na’im Mokhtar berkata kutipan zakat harta dan fitrah itu meningkat 11 peratus berbanding 2022 (RM937 juta).
“Zakat Pendapatan menyumbang kutipan tertinggi sebanyak RM702 juta, bersamaan 68 peratus daripada jumlah keseluruhan kutipan.
“Zakat Perniagaan pula menyumbang kutipan kedua tertinggi dengan sumbangan sebanyak RM165 juta, bersamaan 16 peratus daripada kutipan tahun lepas.
“Baki 16 peratus adalah Zakat Wang Simpanan, Zakat Harta, Qadha dan lain-lain,” katanya pada sidang media Prestasi Kutipan dan Agihan Zakat 2023 Wilayah Persekutuan, menurut laporan Berita Harian.
Menurutnya, jumlah pembayar zakat turut meningkat sebanyak satu peratus iaitu seramai 1.85 juta berbanding 1.83 juta pada tahun 2022.
Turut hadir di sidang media tersebut, Pengerusi MAIWP, Tan Sri Mohd Daud Bakar, Pengerusi PPZ-MAIWP, Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Mohd Ajib Ismail.
Dalam pada itu, PPZ-MAIWP turut melaksanakan strategi pemasaran dan promosi berterusan bagi menarik minat pembayar zakat dari pelbagai lapisan masyarakat.
Kempen melibatkan pelbagai sasaran berbeza antaranya Kempen Mesra Majikan, Kempen Jom Potong & Kempen Jom Tambah, Kempen Jom Ulang dan Kempen Year End Zakat.
Baca juga: