Seorang peniaga meluahkan rasa terkilan, apabila gerai makanan yang diusahakan dengan mendapat kebenaran daripada sebuah institusi Pengajiran Tinggi Awam (IPTA) di Selatan tanah air didakwa secara tiba-tiba ditamatkan operasi.
Menurut individu yang dikenali sebagai Najmudin Shukor, dia sudah mendapat kebenaran untuk menjalankan perniagaan di kawasan ruang niaga, The Port bermula 20 November 2023.
Bagaimanapun, secara tiba-tiba, dia memaklumkan menerima surat arahan untuk menghentikan operasi secara serta-merta pada 31 Disember lalu.
“Saya mula berniaga baru sebulan lebih, tapi tiba-tiba surat terminate (diberhentikan) pada 31 Disember.
“Ini adalah penganiayaan terhadap saya dari pihak UiTM (Universiti Teknologi Mara). Saya ditawarkan meniaga sebab saya adalah alumni, tapi tiba-tiba pihak atasan berhentikan saya,” katanya dalam satu rakaman video yang tular di TikTok.
Dalam rakaman tersebut, Najmudin turut memaklumkan, dia mengalami kerugian setelah membeli beberapa kelangkapan seperti peti sejuk, peti sejuk beku, mesin pengisar ais dan dapur elektrik yang dianggarkan mencecah ribuan ringgit.
“Saya keluarkan modal banyak untuk peralatan meniaga macam chiller, freezer yang kosnya RM3,000 ke RM4,000 setiap satu.
“Saya seminggu tidak berniaga dan bila saya datang tengok ada yang tutup suis chiller menyebabkan habis air mineral saya berkulat, rosak,” katanya.
Meskipun berasa kecewa, namun Najmudin menganggap insiden tersebut sebagai ujian buat dirinya sekeluarga, apatah lagi apabila menjadi mangsa penipuan katering semasa perkahwinan adiknya.
Najmudin yang turut dikenali dengan panggilan Abang Soyaa itu dikatakan meminta pihak pengurusan dipercayai UiTM cawagan Segamat, Johor agar memberi penjelasan terhadap tindakan tersebut.
Baca juga: