Pengurus Besar dan Penyampai Suria FM, Roslinda Abdul Majid lebih dikenali sebagai DJ Lin mengakui menerima banyak kecaman ekoran kontroversi kenyataan yang dibuat oleh Penyampai Radio, Tyzo Xander.
Kata DJ Lin, 48, meskipun dia sudah lali menerima kecaman sebelum ini, namun dia mengakui dugaan kali ini, antara yang paling mencabar.
“Disebabkan kontroversi ini, saya menerima kecaman yang paling hebat.
“Namun, saya sudah lali dengan kecaman ini kerana warganet tidak mengetahui kebenaran dari kedua-dua belah pihak,” katanya ketika Sidang Media Suria FM di Menara Star, Petaling Jaya pada Jumaat.
DJ Lin turut menegaskan bahawa cukup dirinya sahaja dikecam oleh orang ramai dan tidak melibatkan dua orang anaknya, Nureen Areesya, 23 dan Nazren Asyran, 21.
“Anak-anak saya yang tidak bersalah turut menerima kecaman dan saya tidak dapat menerima itu. Jangan sentuh anak saya, cukuplah warganet mengecam saya sahaja.
“Saya tidak menyalahkan warganet kerana mereka tidak mengetahui kebenaran, tetapi saya hanya meminta mereka untuk hanya menghukum setelah mengetahui cerita dari kedua-dua pihak,” ujarnya.
Dalam pada itu, DJ Lin turut menyifatkan kecaman ini sebagai suatu ujian dari Allah dan percaya bahawa akan ada hikmah di sebalik dugaan ini.
“Saya tidak pernah terfikir tahun 2024 akan bermula dengan kontroversi yang berkait dengan saya, namun saya yakin ini semua adalah ujian dari Allah.
“Saya anggap semua ini sebagai satu proses pembelajaran buat diri sendiri dan saya yakin akan ada kemanisan di sebalik ujian yang datang,” tambahnya.
Terdahulu, DJ Lin terlibat dalam isu video tular apabila Tyzo mengatakan dirinya dianiaya sehingga menyebabkan dia meninggalkan stesen radio itu minggu lalu.
Disebabkan video tular tersebut, DJ Lin menerima kecaman hebat dari warganet hingga ramai ingin dirinya meletakkan jawatan dan sesetengah dari mereka ingin memboikot Suria FM.
Baca juga: