Suria FM memperkenalkan barisan penyampai baharu yang bakal memberikan sentuhan terbaru dalam penyampaian saluran radio tersebut.
Barisan penyampai radio tersebut termasuk Datuk Fizz Fairuz, Chiwan Chilok dan Kai Hassan yang bakal memenuhi ruang segmen yang diputarkan Suria FM setiap hari.
Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abdul Majid atau DJ Lin berkata, kemasukan penyampai yang baharu ini merupakan langkah saluran radio tersebut untuk memenuhi keperluan semasa.
“Ini untuk memantapkan dan mengukuhkan lagi tunggak utama barisan penyampai sebelum menjelang ‘Radio Survey’ pada 18 februari hingga 30 Mac akan datang,” katanya dalam Sidang Media Suria FM di Menara Star, Petaling Jaya pada Jumaat.
Ketika ditanya mengenai perasaan diberi peluang untuk menyertai Suria FM, Datuk Fizz Fairuz menyatakan ini merupakan kali pertama beliau akan bekerja mengikut syif yang ditetapkan.
“Sebelum ini, saya tidak pernah kerja mengikut masa yang ditetapkan kerana selama ini saya akan bekerja mengikut masa saya sendiri.
“Namun, saya yakin ini merupakan rezeki saya untuk mencuba bidang ini pula selain lakonan,” katanya.
Sementara itu, Chiwan Chilok atau nama sebenarnya, Muhammad Azwan Sabri, pula menyatakan dirinya teruja untuk menjadi penyampai radio setelah mendapat tawaran dari stesen radio tersebut.
“Alhamdulillah, ini satu permulaan yang menarik pada tahun ini,” katanya.
Dalam pada itu, Kai Hassan menzahirkan rasa syukurnya apabila ditawarkan menjadi penyampai di Suria FM setelah kariernya mencecah lapan tahun sekarang.
“Ini merupakan satu peluang yang baik untuk saya kembangkan lagi kerjaya sebagai penyampai radio yang kini sudah lapan tahun,” katanya yang sebelum ini berkhidmat stesen radio Pantai Timur dan Selatan tanah air.
Untuk info, Datuk Fizz Fairuz bakal ke udara dalam segmen Morning Morning Suria bersama Ajak dan Suraya Borhan pada Isnin hingga Jumaat pada pukul 6 pagi hingga 10 pagi.
Bagi Kai Hassan pula, dia akan bersiaran untuk menggantikan Suraya dalam Morning Morning Suria dan Carta Suria Top 40 sepanjang tempoh cuti bersalin nanti.
Sementara itu, Chiwan Chilok akan bergandingan dengan Rara (Sharifah Shahirah) menerusi segmen Suria Petang pada setiap Isnin hingga Jumaat pukul 3 petang hingga 7 petang.
Segmen Gaya Suria dan Suria Cinta masing-masing kekal diterajui oleh penyampai sama, iaitu Cik Piah (Feeya Iskandar) dan DJ Lin.
Baca juga: