Bapa mabuk, pukul dan tendang anak perempuan

Seorang lelaki ditahan selepas memukul dan menendang anak perempuannya sehingga mengalami kecederaan parah dalam kejadian di Kendong, Rembau, awal pagi Rabu.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Hazri Mohamad berkata, pelajar sekolah berusia 17 tahun dikejarkan ke Hospital Tampin selepas ditendang di bahagian perut selain dipukul menggunakan kerusi, bakul dan besi papan seterika.

Menurutnya, polis menerima panggilan telefon dari orang awam menyatakan rakannya telah dipukul bapa sendiri kira-kira pukul 12.15 tengah malam di kaunter aduan Balai Polis Kota.

“Polis segera ke lokasi dan menahan suspek berusia 47 tahun di hadapan rumahnya dalam keadaan mabuk. Mangsa pula telah di bawa ke Hospital Tampin untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Remaja itu mengalami luka di bahagian kiri kepala dan telah menerima 12 jahitan selain luka serta lebam di bahagian tangan dan bahu kanan,” katanya.

Tambah Hazri, mangsa akan di rujuk ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) di Kuala Pilah untuk pemeriksaan lanjut pakar perubatan.

Pihak polis sedang mengesan saksi kejadian yang juga dikatakan teman wanita kepada suspek.

Lapor Kosmo, suspek mempunyai tujuh rekod lampau membabitkan jenayah serta dadah dan kini direman empat hari bermula Rabu bagi membantu siasatan.

Baca juga: