Artis versatil negara, Elly Mazlein tampil dengan single terbarunya bergenre balada dengan judul Sayap, hasil ciptaan komposer dan penulis lirik popular tempatan, Naim Daniel, Omar K, dan Iqie Hugh.
Elly Mazlein, atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 43, menyatakan keterujaan dirinya apabila mendapat tawaran daripada label muzik Rocketfuel Entertainment untuk menyanyikan lagu hasil karya mereka.
“Saya berasa bersyukur dengan Rocketfuel Entertainment kerana mempercayai bakat saya untuk menyampaikan lagu ini, setelah sekian lama saya tidak menyanyikan lagu genre balada,” katanya dalam Majlis pelancaran lagu dan video muzik Sayap di Renaissance Kuala Lumpur Hotel & Convention Centre pada Rabu.
Naim Daniel yang merupakan komposer lagu ini mengatakan ia diinspirasi daripada rama-rama, yang dikatakan mempunyai jangka hayat yang pendek, maka ia perlu memanfaatkan masa hidupnya bersama yang tersayang.
“Inspirasi lagu ini datangnya daripada rama-rama, jadi Sayap ini ingin menggambarkan jika seseorang yang tersakiti itu mempunyai masa yang singkat untuk hidup sudah tentu ia mahu menghabiskan hidupnya bersama orang yang tersayang.
“Saya juga mencuba untuk mengambil tahu trend lagu balada pada masa kini di mana saya tidak mahu ia terlalu mendayu-dayu, maka terhasillah karya ini,” katanya.
Lagu Sayap boleh didengari oleh peminat melalui aplikasi penstriman atas talian pilihan utama seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.
Dalam pada itu, Astro menyediakan saluran sementara yang dinamakan ‘Elly Mazlein’, di saluran 111, diisiakan dengan perisian menarik termasuk video muzik Sayap, temu bual eksklusif dan momen-momen di sebalik pembikiran muzik video.
Saluran tersebut akan mula ditayangkan di Astro saluran 111 mulai pukul 12 tengah malam pada 25 Januari hingga 11.59 malam 26 Januari.
Baca juga: