Pengambilan doktor pelatih disingkatkan kepada dua bulan

Proses pengambilan doktor pelatih disingkatkan kepada dua bulan, berbanding tempoh menunggu hampir dua tahun sekarang.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Zulkefly Ahmad berkata, proses pengambilan lebih baik itu menunjukkan kecekapan pengurusan di Kementerian Kesihatan (KKM).

Katanya, KKM turut mengadakan enam kali pengambilan dalam setahun dan saya berpendapat tindakan diadakan KKM itu lebih cekap.

“Graduan tidak lagi perlu menunggu lama kerana kita faham penantian itu suatu penyiksaan,” katanya selepas Majlis Amanat Tahun Baharu KKM Putrajaya pada Jumaat.

Zulkefly berkata demikian ketika mengulas kenyataan Malaysia Medics International (MMI) menggesa kerajaan mempercepat pengambilan graduan perubatan ekoran kekurangan doktor pelatih di sebuah hospital pengajar.

MMI berkata, ini bagi menangani masalah pengagihan dan kekurangan doktor pelatih.

Pendekatan bersasar dengan mempercepat pengambilan graduan perubatan ke dalam sistem latihan (housemanship) untuk peralihan yang lebih cepat selepas tamat pengajian kepada latihan praktikal.

Menyentuh mengenai kakitangan kerajaan tidak lagi akan menerima pencen sekiranya berkhidmat di KKM, Zulkefly berkata, perkara itu tidak akan menjejaskan perkhidmatan kesihatan di negara ini kerana jumlah pegawai perubatan yang berhenti menunjukkan penurunan jika dibandingkan sebelum ini.

Katanya, ia menunjukkan mereka lebih selesa berkhidmat di hospital kerajaan berbanding dengan swasta.

Harian Metro melaporkan, tahun lalu KKM melantik kira-kira 10,000 pegawai perubatan dan daripada jumlah itu 6,300 orang menerima lantikan tetap.

Anda Mungkin Berminat