Setelah lima tahun, penyanyi, Imran Ajmain, 42, mengubati rindu yang membelenggu peminat dengan lagu terbaharu berjudul Padam Dan Pergi yang sudah dikeluarkan pada 19 Januari lalu.
Lagu yang menggambarkan hubungan yang sudah tidak sehaluan ini turut menunjukkan senario kekasih yang berusaha untuk mencari babak baru dalam hidupnya.
Dengan susunan lirik yang ringkas dan menyentuh hati, lagu ini turut membuka peluang buat Imran untuk menerokai gaya muzik baharu hasil kolaborasi bersama komposer, Ahmadul Amin.
“Selalunya saya akan membawa lagu genre pop balada, namun dengan Padam Dan Pergi ini saya dapat menampilkan gaya muzik yang berbeza daripada selalu.
“Lagu ini juga merupakan cara terbaharu bagi saya menerokai stail baru dalam muzik, hasil kerjasama dengan Ahmadul Amin,” katanya ketika sidang media Pelancaran Padam Dan Pergi dan Konsert Malam Seribu Tahun di Volvo Ingress Swede, Mutiara Damansara, Selangor pada Jumaat.
Pada masa sama, penyanyi yang terkenal dengan lagu Seribu Tahun itu turut meluahkan keterujaan mengenai konsertnya yang bakal berlangsung pada 2 dan 3 Februari depan.
Konsert Malam Seribu Tahun tersebut yang merupakan sekuel kepada siri pertama konsertnya yang pertama diadakan di tempat kelahirannya, Singapura.
Menariknya, tiket konsert yang akan diadakan di The Platform, Menara Ken, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur itu habis dijual dalam tempoh satu jam sahaja.
Siri konsert tersebut dianjurkan oleh Elmi Elmo dan Hastag Media dari Malaysia, hasil kerjasama dengan Gumbira dan A’Art di Singapura.
Baca juga: