Polis tahan 108 PATI di Pasar Harian Selayang dalam Op Taring 2

Pihak berkuasa tempatan menahan seramai 108 individu termasuk empat wanita pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam Operasi Khas Op Taring 2 di Pasar Harian Selayang, awal pagi Sabtu.

Op tersebut dilancarkan oleh  Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kekuatan 465 pegawai dan anggota.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk allaudeen Abdul Majid berkata, seramai 213 warga asing yang berada di sekitar kawasan terbabit diperiksa.

“Hasil pemeriksaan, polis menahan 104 lelaki dan empat wanita PATI yang terdiri daripada 52 orang warga Indonesia, 35 warga Myanmar, 12 warga India, tujuh warga Bangladesh dan masing-masing satu warga Pakistan dan Nepal.

“Semua pesalah tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah serta tinggal melebihi had masa yang dibenarkan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Tambah beliau operasi yang turut dijalankan bersama Jabatan Imigresen dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) itu bertujuan untuk membanteras jenayah yang berlaku di sana, terutama melibatkan PATI.

Semua tangkapan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk siasatan mengikut Seksyen 6 (1)(c) dan Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan tinggal melebihi masa dibenarkan.

Allaudeen turut berkata serbuan seperti ini akan terus dibuat dari semasa ke semasa untuk mengurangkan jumlah PATI dalam negara.