Sekumpulan lelaki bersenjata parang dalam pergaduhan diburu polis

Sekumpulan lelaki bersenjatakan parang menyerbu dan menyerang beberapa individu dalam satu kejadian di sebuah restoran di Taman Impian Emas, Johor pada Sabtu.

Tindakan sekumpulan lelaki tersebut berlaku dengan pantas dan mereka cepat meninggalkan lokasi sebelum sepasukan polis tiba.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, pihaknya sedang giat mengesan sekumpulan lelaki terbabit yang mencetuskan pergaduhan itu.

Katanya, polis menerima maklumat kejadian sekitar pukul 11.50 malam sebelum sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Sehingga kini tiada mangsa yang tampil membuat laporan polis berkenaan kejadian tersebut. Pihak polis sedang giat mengesan suspek yang terlibat,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Sebelum itu, tular video berdurasi 45 saat di media sosial yang memaparkan beberapa lelaki bersenjatakan parang menetak individu di dalam kedai makan itu sebelum meninggalkan premis tersebut.

Lapor Kosmo, pihak polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes ini untuk menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Mohamad Faez Rahim di talian 011-11905471.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat