Penyanyi veteran, Datuk Hattan berkongsi berita mengejutkan apabila dia meluahkan hasrat untuk meninggalkan dunia hiburan tanah air sepenuhnya bermula Jun depan.
Hattan atau nama sebenarnya Mohd Shukri Shahabudin, 59, berkata, keputusan itu dibuat bagi membolehkan dirinya berehat memandangkan usia semakin meningkat.
Menurut Hattan, sudah tiba masanya untuk dia berehat dalam penglibatan membabitkan konsert atau persembahan berskala besar.
“Saya rasa dah sampai masanya untuk saya bersara dari industri seni dan menikmati hari tua saya dengan perkara lain.
“Impian saya dah tercapai iaitu untuk bersama sepentas dengan sifu saya Datuk M. Nasir sewaktu saya mengakhiri karier saya sebagai seorang penyanyi,” katanya ketika ditemui Malaysia Bangkit ditemui pada Isnin.
Sementara itu, perkembangan lain, konsert Sifu Dan Aku yang dijadualkan berlangsung di Sabah International Convention Center (SICC) pada 3 Februari depan akan menjadi konsert kedua terakhir sebelum beliau mengundurkan diri.
Konsert Sifu Dan Aku itu menjadi pentas penyatuan dua insan seni yang saling berkongsi ilmu antara satu sama lain sepanjang tempoh empat dekad dalam industri.
Menurut Datuk M. Nasir, persiapan konsert tersebut sudah mencapai 60 peratus.
“Setakat ini persiapan sudah lebih 60 peratus dan pada Selasa, akan ada kru yang bergerak ke Sabah untuk persiapan awal.
“Semestinya untuk konsert di Sabah ini kita bakal sertakan sentuhan Sabah juga dalam lagu yang bakal dinyanyikan pada 3 Februari nanti,” ujarnya lagi.
Untuk info, konsert Sifu Dan Aku ini dianjurkan oleh Ochee Purnama Sdn Bhd dan HS Shazlicious Trading dengan kerjasama Borneo Excursions dan Angkatan Hebat Group.
Baca juga: