Pelabur asing kembali sebagai pembeli bersih di Bursa Malaysia dalam dagangan mingguan pendek berikutan cuti Thaipusam dengan aliran masuk sebanyak RM267.7 juta.
MIDF Research berkata, pelabur asing menjual ekuiti berjumlah RM66.6 juta pada Selasa, sebelum menjadi pembeli bersih pada baki hari berikutnya.
“Tiga sektor teratas dengan aliran masuk asing bersih tertinggi ialah perkhidmatan kewangan (RM112.2 juta), utiliti (RM97.3 juta) dan hartanah (RM86.6 juta).
“Manakala, tiga sektor teratas dengan aliran keluar asing bersih tertinggi ialah produk dan perkhidmatan pengguna (-RM39.6 juta), produk dan perkhidmatan perindustrian (-RM38 juta) dan penjagaan kesihatan (-RM21.2 juta),” katanya.
MIDF Research turut menyatakan, institusi tempatan bertukar menjadi penjual bersih untuk minggu lalu, selepas melupuskan ekuiti bernilai RM167.1 juta dan hanya beli bersih RM21.0 juta pada Selasa tetapi menjadi penjual bersih untuk baki minggu itu.
“Peruncit tempatan bersih menjual RM100.6 juta minggu lalu. Ini adalah minggu keempat berturut-turut jualan bersih mereka. Seperti institusi tempatan, mereka hanya beli bersih pada hari Selasa pada harga RM45.6 juta tetapi menjadi penjual bersih sepanjang minggu,” katanya.
Dari aspek penyertaan, firma penyelidik itu berkata, terdapat peningkatan dalam purata jumlah dagangan harian dalam kalangan institusi tempatan dan pelabur asing masing-masing sebanyak 3.3 peratus dan 2.5 peratus manakala peruncit tempatan mencatatkan penurunan sebanyak 14.6 peratus.
Di pasaran serantau, pelabur asing juga beralih daripada penjualan bersih sebanyak AS$4.7 bilion pada minggu sebelumnya kepada pembelian bersih sebanyak AS$2.06 bilion dalam lapan pasaran yang dipantau oleh MIDF Research.
Lapor Bernama, kebanyakan daripada aliran masuk itu adalah di Taiwan, dengan India, Thailand dan Indonesia adalah negara yang mengalami aliran keluar asing bersih pada minggu lalu.
Baca juga: