Fahami sistem kerajaan Agong bergilir di Malaysia

Pentadbiran Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah sebagai Yang di-Pertuan Agong (YDPA) sejak 2019 telah tamat pada 30 Januari 2024.

Tampuk pemerintahan sebagai YDPA akan diganti oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar berkuat kuasa Rabu selama lima tahun.

Senario ini menggambarkan keunikan sistem pemilihan Agong yang bergilir diadakan di Malaysia.

Sistem ini bermula sejak Malaysia mencapai kemerdekaan pada 1957, dengan setiap raja di Tanah Melayu ingin mengekalkan status dan kuasa mereka sebagai pemerintah.

Oleh itu, Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang pertama diadakan pada 30 dan 31 Oktober 1957 diadakan dan perbincangan melibatkan pemilihan pelantikan YDPA.

Hasil daripada perbincangan dalam mesyuarat tersebut, jawatan YDPA dipilih secara bergilir daripada sembilan orang Raja daripada sembilan buah negeri.

Antara sembilan buah negeri Melayu yang terlibat termasuk Negeri Sembilan, Selangor, Perlis, Terengganu, Kedah, Kelantan, Pahang, Johor dan Perak.

Menurut laman web rasmi Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, YDPA dipilih melalui Majlis Raja-Raja yang dihadiri oleh Raja dari sembilan buah negeri untuk membuat undi secara sulit akan calon YDPA yang seterusnya.

Raja yang tidak berhasrat untuk menjadi YDPA hendaklah memaklumkan secara bertulis kepada pihak Penyimpan Mohor Besar Raja-raja dan negerinya akan diletakkan di tempat akhir sekali dalam senarai pencalonan pada masa itu.

Kertas undi yang digunakan juga tidak bernombor dan ditanda menggunakan jenis pen dan dakwat yang sama. Undi yang sudah dikira akan dihapuskan di hadapan Raja-Raja.

Calon yang diundi hendaklah mempunyai majoriti lima undi sebelum Raja yang mempengerusikan Mesyuarat Pemilihan menawarkan jawatan Yang di-Pertuan Agong kepada baginda.

Jika Raja yang berjaya tidak menerima tawaran ataupun Raja itu gagal memperolehi undi majoriti maka proses pengundian semula akan dijalankan, iaitu dengan mencalonkan nama Raja yang kedua dalam senarai yang layak dipilih untuk diundi.

Selepas itu, Majlis akan mengisytiharkan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong dan memegang jawatan itu bagi tempoh lima tahun.

Keputusan untuk pemilihan YDPA yang seterusnya akan diadakan setelah tamat tempoh pemerintahan selama lima tahun Agong yang terkini dan proses yang sama akan digunakan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat