Aktiviti mendaki gunung atau hiking merupakan salah satu kegiatan fizikal yang baik untuk kesihatan fizikal dan mental.
Malah, aktiviti ini turut menjadi hobi dan kegilaan kelompok tertentu selain memiliki penggemarnya tersendiri.
Tidak dinafikan, Malaysia sememangnya sebuah negara yang kaya dengan landskap semula jadi yang cukup memukau.
Terdapat beberapa lokasi terbaik untuk aktiviti pendakian daripada laluan pendakian yang biasa sehinggalah kepada laluan yang mencabar.
Bukit Broga
Bukit Broga yang terletak di bandar Semenyih, Selangor terkenal sebagai satu tempat yang terbaik untuk melihat pemandangan matahari terbit di Malaysia.
Laluan mendakinya juga tidak begitu sukar dan hanya mengambil masa kira-kira dua jam untuk anda sampai ke puncak.
Istimewanya Bukit Broga ini akan memberikan anda lebih banyak masa menikmati suasana nyaman di waktu subuh.
Gunung Datuk
Gunung Datuk terletak di kawasan hutan berbukit Negeri Sembilan, kira-kira memakan masa satu jam setengah perjalanan dari Kuala Lumpur.
Gunung Datuk, biasanya menjadi destinasi pilihan sebagai tempat latihan sebelum menyertai ekspedisi lebih mencabar bagi kebanyakkan penggemar pendaki.
Selain itu, para pendaki turut menjadikan gunung terbabit sebagai destinasi untuk proses pemulihan selepas melakukan pendakian ekstrem.
Namun, untuk yang pertama kali berjinak-jinak dengan aktiviti mendaki, pendakian di Gunung Datuk merupakan destinasi pilihan serta menjanjikan cabaran tersendiri.
Taman Eco Rimba
Taman Eco Rimba merupakan antara tempat hiking popular di Malaysia yang letaknya di dalam Hutan Simpan Bukit Nanas.
Lokasi ini menjadi tarikan utama bagi mereka yang menggemari aktiviti mendaki dan hanya terletak 3km dari pusat bandar.
Taman ini merupakan habitat flora dan fauna yang unik disertakan dengan kehijauan alam semula jadi yang nyaman.
Tidak perlu risau soal bayaran kerana masuk adalah percuma.
Bukit Tabur
Bukit Tabur adalah salah satu laluan mendaki yang cantik di Lembah Klang dan terbahagi kepada dua laluan berbeza, Bukit Tabur Timur dan Bukit Tabur Barat.
Laluan Bukit Tabur Barat menawarkan laluan yang lebih mencabar, dengan pendakian yang curam dan jalan yang sempit.
Selain itu, Laluan Bukit Tabur Timur adalah lebih mudah, menjadikannya sesuai untuk pendaki amatur atau mereka yang mencari trek lebih santai.
Kedua-dua laluan mempunyai keunikan pemandangan panoramik yang memukau di sepanjang pendakian.
Gunung Semangkok
Gunung Semangkok mempunyai ketinggian 1824 meter merupakan antara gunung idaman para pendaki.
Dengan keadaan trek berbatu yang agak curam, pendaki dinasihatkan untuk berhati-hati ketika mendaki.
Antara cabaran trek ini adalah buluh buluh tumbang yang memerlukan pendaki merangkak untuk melepasi buluh tersebut.
Baca juga: