Aura tarikan kimia antara guru, murid jadi pencetus konsert Sifu Dan Aku

Keutuhan hubungan antara dua bintang hebat antara Datuk M.Nasir dan Datuk Hattan telah memutuskan mereka untuk mengadakan konsert Sifu Dan Aku yang bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada 3 Februari depan.

Kata M.Nasir atau Mohamad Nasir Mohamed, 66, Konsert Sifu dan Aku sebagai cabaran buat dirinya selepas lebih empat dekad bergelar anak seni.

“Gementar itu memang ada, tapi untuk konsert pada 3 Februari nanti, kita akan pastikan segalanya lancar dan sesuai dengan persediaan yang telah dibuat,” katanya pada Isnin.

Sementara itu, bagi Hattan pula, beliau menggambarkan konsert tersebut sebagai satu persembahan yang mengakhiri kepada gerbang penutup kerjaya seninya.

Pemilik nama Mohd Shukri Shahabudin, 59, itu juga memberi jaminan penonton akan disajikan dengan persembahan yang luar biasa antara beliau sebagai anak murid dan gurunya, M.Nasir.

“Pastinya kami sudah siap dengan segala persiapan dan juga ada beberapa arrangement lagu yang kita gubah untuk hadirkan elemen Sabah dalam pembawaan lagu.

“M. Nasir dengan saya dah kenal lama, jadi isu tentang keserasian itu tak jadi masalah sebab saya berguru dengan dia dan ini memang impian saya untuk sepentas bersama sifu saya,” katanya ketika ditemui Malaysia Bangkit.

Hattan turut membuat kejutan apabila mengumumkan mahu bersara pada Jun depan.

“Ini adalah konsert kedua terakhir atau mungkin yang terakhir sebelum saya menamatkan karier saya dalam industri seni.

“Bersara itu tidak sampai tak menanyi terus, mungkin kenduri kawin kawan-kawan saya akan menyanyi cuma untuk konsert atau persembahan yang berskala besar, saya dah taknak terlibat,” ujarnya lagi.

Jelasnya, konsert itu adalah penceritan sejak awal pembabitan dalam bidang muzik sehingga ke masa kini.

Konsert Sifu Dan Aku adalah sebuah konsert yang unik kerana ia bukan sahaja menampilkan dua seniman yang berbakat, tetapi turut menunjukkan hubungan erat dan harmonis antara seorang guru dan murid.

Tiket konsert boleh didapati di iLasso Tickets pada harga RM988 VIP, dan tempat duduk bebas bermula pada harga RM188 hingga RM488.

Baca juga: