Seorang kanak-kanak perempuan berumur lima tahun ditemui meninggal dunia selepas ditinggalkan secara tidak sengaja oleh ibunya di kawasan parkir Hospital Shah Alam, Selangor pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata, hasil siasatan mendapati mangsa telah ditinggal oleh ibunya secara tidak sengaja di dalam sebuah kereta jenis Perodua Axia selepas diambil dari sebuah taska berdekatan.
Polis menerima laporan pada pukul 8.01 malam oleh rakan sekerja ibu mangsa yang hanya menyedari kejadian tersebut setelah dihubungi suaminya.
“Mangsa kemudiannya telah dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Shah Alam dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia setelah segala usaha menyelamatkan mangsa dijalankan.
“Kes disiasat mengikut Skesyen 31(1)(A) Akta Kanak-Kanak dan jika disabit kesalahan boleh didenda melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan.
Iqbal turut menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati semasa mengambil anak-anak kecil terutamanya yang baru pulang dari sekolah untuk tidak ditinggalkan secara sengaja di dalam kenderaan.
Sebelum ini, media melaporkan beberapa kejadian kanak-kanak meninggal dunia akibat tertinggal di dalam kereta di mana kes terbaharu pada Disember, 2023 apabila seorang ibu didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan mengabai anak perempuannya dalam sebuah kereta jenis MPV.
Baca juga: