Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah menerima 4 buah kapal pemintas baharu atau Fast Interceptor Craft (FIC) G2000 Mk II oleh Gading Marine Industry Sdn. Bhd. (GMISB) dalam satu Majlis di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, Sabah pada Jumaat.
Keempat-empat FIC G2000 Mk II akan ditempatkan di Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2), Sandakan bagi memperkukuhkan tahap keselamatan maritim terutamanya di perairan Sabah Timur selain bertindak sebagai aset pelengkap atau ‘force multiplier’ kepada TLDM.
Penyerahan aset baharu itu disempurnakan oleh Pengarah Urusan Gading Marine GMISB, Datuk Jamalolail Mohd Yatim kepada Panglima Tentera Laut, Laksmana Tan Sri Abdul Rahman Ayob sambil disaksikan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Perolehan FIC G2000 Mk II ini melibatkan tiga fasa di mana TLDM akan menerima keseluruhan sebanyak 13 buah FIC secara berperingkat.
Projek tersebut berjaya dihasilkan dalam tempoh 16 bulan selain merekodkan kesemua 4 buah FIC G2000 Mk II Fasa Pertama ini telah dibina sepenuhnya di fasiliti limbungan GMISB bertempat di Port Industrial, Sitiawan.
Aset tersebut terbukti efektif digunakan dalam mengawal dan menyekat kegiatan jenayah rentas sempadan termasuk penyeludupan, pelanunan, rompakan laut, pemerdagangan manusia dan pencerobohan.
Sebelum ini, pada Februari 2021, TLDM telah menerima 6 buah FIC G2000 Mk I di mana aset ini turut dibina oleh GMISB.
Jika dibandingkan FIC G2000 Mk II kini terbukti lebih unik kerana ia turut dilengkapi dengan Remote Control Weapon Station (RCWS) Escribano yang membolehkan penembakan senjata jenis CANiK M2 Quick Change Barrel (QCB) 12.7mm Heavy Machine Gun (HMG) dilancarkan secara automatik.
Turut hadir semasa majlis penyerahan adalah Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Isham Ishak, wakil agensi Kerajaan di Negeri Sabah serta pihak pegawai tertinggi TLDM.
Baca juga: