Anwar gesa pertikaian keputusan Lembaga Pengampunan dihentikan

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa agar semua kritikan dan pertikaian dihentikan serta-merta berhubung keputusan Lembaga Pengampunan hukuman ke atas Datuk Seri Najib Razak.

Anwar berkata, ini kerana keputusan Lembaga Pengampunan memberi pengurangan hukuman kepada bekas Perdana Menteri itu dibuat atas pertimbangan ihsan Yang di-Pertuan Agong.

Jelasnya, rakyat harus menghormati keputusan itu dan ianya muktamad dibuat atas pertimbangan Baginda sebagai mercu keihsanan.

“Kita faham orang mempunyai pandangan kuat dan tegas. Jadi, kita beri laluan sedikit tetapi selepas penjelasan dibuat, ia harus dihentikan.

“Banyak isu yang belum diselesaikan, masalah ekonomi, masalah penyelarasan gaji, dan itu adalah keutamaan utama yang harus kita fokuskan,” katanya ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya pada Isnin.

Anwar turut menyeru orang ramai agar tidak memikirkan keputusan Lembaga Pengampunan semata-mata, kerana banyak isu nasional patut mendapat perhatian semua pihak.

“Yang di-Pertuan Agong memutuskan keputusannya itu muktamad atas pertimbangan yang besar, bukan undang-undang. Kerana itu, proses kehakiman dan pertimbangan utama adalah soal ihsan. Jadi, sama ada Yang di-Pertuan Agong memilih untuk beri penjelasan atau tidak, itu wewenang (kekuasaan) tuanku,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan ahli politik DAP Tony Pua adalah orang pertama yang dipanggil untuk disoal siasat berhubung kenyataannya berhubung keputusan mengurangkan hukuman penjara dan denda Datuk Seri Najib Razak.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat