Putera Mahkota Mohammad bin Salman mengadakan pameran World Defense Show (WDS) yang bertujuan mengetengahkan pembangunan teknologi terkini dari seluruh dunia dalam bidang ketenteraan, pertahanan dan keselamatan.
WDS itu yang berlangsung mulai 4 hingga 8 Februari 2024 diadakan di Riyadh, Arab Saudi dan telah diambil bahagian oleh pelbagai negara dari seluruh dunia.
Oleh itu, kehadiran Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ke pameran tersebut adalah untuk mengintai peluang negara untuk menerokai bidang kerjasama strategik dalam bidang keselamatan.
“Ia dapat mengukuhkan kerjasama sedia ada terutamanya dalam menangani jenayah rentas sempadan.
“Serta menjalin rangkaian kerjasama, berkongsi pengetahuan dan keupayaan baharu merentasi semua aspek pertahanan dan keselamatan,” kata Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi satu kenyataan, hari ini.
Dalam lawatan ini, Saifuddin dan delegasi KDN dapat melihat dan berinteraksi bersama peneraju syarikat-syarikat pengeluar teknologi pertahanan terkemuka dunia dalam usaha meningkatkan teknologi pertahanan dan keselamatan negara.
Beliau turut berkesempatan mengadakan lawatan ke lokasi pameran yang melibatkan syarikat Arab Saudi, China, Korea Selatan dan Turkiye.
Turut hadir pada WDS 2024 ialah TYT Datuk Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah, Pengarah Pengurusan PDRM, Datuk Seri Azmi Abu Kassim serta pegawai kanan kementerian yang lain.
Baca juga: