Anjur majlis makan malam demi kumpul dana tunggakan kos operasi RM285,000

Keadaan Pandemik Covid-19 yang berlaku sebelum ini secara tidak langsung menjejaskan pengurusan Madrasah Ulumul Quran Wal Ahadith (Al-Muqwa), Kampung Rantau Panjang, Klang, Selangor sehingga terpaksa menanggungg tunggakan kos operasi, RM285,000.

Kata Mudir Al-Muqwa, Amran Johari, masalah kewangan yang dihadapi mengakibatkan mereka dibebani dengan jumlah hutang yang tinggi.

“Kami berdepan bebanan hutang berjumlah hampir RM285,000 untuk membiayai kos operasi sebelum ini.

“Kemudian kita mempunyai tunggakan atau tuntutan hutang daripada pembekal tenaga dan juga syarikat air yang mana jumlah tunggakan bil-bil utiliti tersebut mencecah sehingga RM80,000 untuk tempoh dua tahun.

“Begitu juga kami keputusan bekalan makanan yang kerap berlaku sejak setahun setengah ini. Begitu juga dengan masalah kos lain untuk tujuan pentadbiran pertubuhan atau madrasah ini,” katanya.

Susulan itu, Al-Muqwa merancang untuk mengadakan Majlis Makan Malam Kesedaran Amal yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 17 Februari depan bermula pukul 6 petang.

Pihak Al-Muqwa yang sebelum ini sudah melantik Ali XPDC sebagai Duta Al-Muqwa pada 2020 mengharapkan agar penyanyi itu nanti dapat membantu untuk mendapatkan dana.

“Cetusan idea itu juga dapat galakkan daripada Ali XPDC selaku duta Al Muqwa, maka kita mengadakan program makan malam amal ini untuk kali kedua.

“Istimewanya program ini juga akan dihadiri oleh tetamu atau artis selebriti tanah air yang tidak asing lagi iaitu Datuk Awie. Disamping itu, artis-artis lain yang terbabit buat persembahan ialah Ijam Medicine dan Adi Wow.

“Majlis akan dikendalikan oleh penyampai atau pengacara popular tanah air iaitu Faizal Ismail dan Mawi. Program juga akan dihadiri oleh beberapa artis hijrah termasuk Anjang Terra Rossa dan rakan-rakan,” katanya.

Pada 26 Februari 2022, Al-Muqwa tampil menganjurkan konsert yang membariskan Ali dan barisan selebriti hijrah lain iaitu Ijam Medicine, Iwan Syahman, Kieran dan Faizal Ismail di Dewan Palembang, Rantau Panjang, Klang bagi tujuan mengisi dana.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat