Amelia Henderson tekad tapis betul-betul kandungan podcast sebelum siar

Pelakon dan pengacara, Amelia Henderson, 28, akan memastikan kandungan yang disajikan menerusi saluran podcast yang dikendalikannya iaitu Studio Sembang ditapis dan sentiasa relevan supaya tidak menimbulkan sebarang kontroversi atau sensiviti tetamu yang dijemput.

Pelakon cantik jelita itu berkata, dia amat mengutamakan keselesaan tetamunya dan akan menapis sebaik mungkin sesuatu kandungan sebelum dimuat naik dalam media sosial dan akan menyerahkan suntingan podcast tersebut kepada satu pasukan terlebih dahulu bagi penilaian sebelum disiarkan kepada penonton.

“Betul saya akan pastikan tiada ‘content’ (kandungan) kontroversi dan untuk Studio Sembang kami ada satu ‘solid censorship’ (tapisan yang kuat) di mana sebelum episod itu dimuat naik, pasukan saya akan hantar kepada tetamu tersebut terlebih dahulu.

“Mereka (tetamu) akan lihat sama ada okay atau tidak malah kami pernah banyak kali potong ‘content’ yang dibuat sebab tetamu rasa ada atau ‘content’ yang kurang sesuai untuk dikongsikan kepada umum.

“Kerana saya percaya tidak elok untuk pihak saya jika muat naik sesuatu ‘content’ yang buat tetamu saya tidak berasa selesa.

“Memotong bahagian sensiviti tidak bermakna ‘content’ itu tidak seronok, tetapi lebih menjaga keselesaan tetamu. Jika muat naik yang kontroversi itu tidak baik,” katanya dalam satu sidang media drama bersiri I.D yang berlangsung di Dadi Cinema, Pavilion Kuala Lumpur, pada Selasa.

Terdahulu, Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil mengingatkan pempengaruh untuk mengawal secara kendiri dan berhati-hati apabila mengendalikan podcast atau memuat naik kandungan di media sosial supaya tidak memberikan kesan kepada masyarakat.

Beliau berkata, kerajaan juga akan melakukan pemantauan dari semasa ke semasa serta meneliti sebarang tindakan sekiranya perlu terhadap mereka yang membuat kandungan kurang membina.

Sementara itu, Amelia berkata dia tidak akan ‘menunggang’ gosip yang terpalit dengan tetamunya demi meraih jumlah tontonan yang tinggi.

“Saya lebih tertarik fokus pada itu (pengalaman) daripada gosip murahan peribadi yang tidak ke mana.

“Perkara itu juga tidak elok untuk saya sendiri yang bila saya balik rumah nanti akan rasa tidak sedap hati,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Amelia yang juga memegang watak sebagai (Anggun) dalam drama siri premium ‘I.D’ terbitan Astro Shaw dengan kerjasama Alpha47 bakal bersiaran pada 23 Februari pukul 9 malam menerusi Astro Premier (Saluran 410) atau menerusi platform On Demand dan Astro GO.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat