Kerajaan ‘rompak’ gaji rakyat untuk tanggung kos senjata api

Satu kejadian rusuhan melibatkan rakyat Korea Utara yang bekerja di China berlaku setelah mengetahui gaji mereka tidak akan dibayar dipercayai kerana ingin menanggung kos perbelanjaan senjata api di Pyongyang, Korea Utara.

Kejadian itu dipercayai telah mencetuskan kebimbangan puluhan ribu rakyat Korea Utara yang bekerja di luar negara selain berpendapat perkara tersebut tidak wajar dilakukan memandangkan ramai rakyat yang berdepan dengan kesukaran hidup.

Menurut laporan BBC News, rusuhan tersebut berlaku melibatkan kakitangan yang bekerja di kilang pakaian di bawah kendalian Korea Utara di wilayah Timur Laut China pada 11 Januari lalu.

“Mereka mulai menjadi ganas dan memecahkan mesin jahit bersama peralatan dapur di samping mengunci pegawai Korea Utara dalam bilik dan menyerang mereka,” katanya.

Bagaimanapun, BBC News tidak dapat mengesahkan insiden rusuhan berkenaan kerana tidak memiliki sebarang maklumat yang boleh disahkan secara rasmi.

Ini kerana bukan sahaja Korea Utara sangat berahsia, tetapi beberapa kilang di China dikawal ketat oleh pihak mereka.

Kira-kira 100,000 warga Korea Utara ditempatkan di luar negara terutamanya di kilang dan tapak pembinaan di Timur Laut China, yang dikendalikan oleh kerajaan Korea Utara.

Namun, kebanyakan pendapatan mereka disalurkan kepada kerajaan bagi membiayai perbelanjaan ketenteraan Korea Utara tanpa pengetahuan mereka.

Pekerja yang menghabiskan waktu selama tiga hingga tujuh tahun bekerja di China kemudian akan pulang ke Korea Utara untuk mengambil wang mereka.

Namun, kebanyakan mereka kecewa apabila mengetahui wang daripada hasil titik peluh lenyap begitu sahaja.

BBC News melaporkan, seorang warga Korea Utara yang bekerja di China antara 2017 dan 2021, Jung (bukan nama sebenar) menyatakan dirinya menerima hanya 15 peratus daripada jumlah pendapatan.

“Baki gaji saya yang selebihnya pergi ke pengurusan untuk membiayai projek-projek negeri. Meskipun saya dibayar bulanan, tetapi nasib mereka yang bekerja di syarikat berprestasi rendah lebih teruk daripada saya,” katanya.

Meskipun mencabar, pekerjaan di luar negara sangat kompetitif dalam kalangan rakyat Korea Utara kerana mereka boleh menerima gaji lebih 10 kali ganda berbanding mereka yang bekerja dalam negara.

Baca juga:

https://malaysiabangkit.com/2024/02/09/syarikat-penerbangan-finnair-mula-timbang-berat-penumpang-dan-beg-sebelum-penerbangan/

Anda Mungkin Berminat