70 individu ditahan dalam serbuan premis hiburan di Johor Bahru

Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Johor Bahru menahan 70 individu dan merampas beberapa peralatan hasil serbuan di dua premis hiburan di Johor Bahru pada Sabtu.

Ketua Polis Johor, CP M. Kumar S. Muthuvelu berkata, satu premis tersebut tidak mempunyai lesen perniagaan dan hiburan yang sah di samping beroperasi lebih tempoh masa yang dibenarkan.

“Hasil saringan awal air kencing mendapat seramai 48 lelaki dan 20 perempuan positif dadah jenis methamphetamine, ketamin dan tetrahydrocannabinol (THC).

“Dua individu yang ditahan merupakan golongan bawah umur yang didapati telah berhenti sekolah dan polis turut menahan dua individu yang bekerja sebagai juruwang di premis terbabit,” katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Selain itu, Kumar turut menyatakan pihak polis membuat beberapa rampasan termasuk pembesar suara, mikrofon, resit perniagaan dan wang tunai berjumlah RM5,224.

Kesemua ditahan yang merupakan warganegara dan warga asing akan dipohon reman pada Ahad dan telah diserahkan ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Johor Bahru Selatan untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat dibawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 6(2) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Negeri Johor (ENJ) 4/98 dan Seksyen 11(2) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Negeri Johor (ENJ) 4/98.

Baca juga: