Sistem infrastruktur air perlu dinaik taraf dan ditekankan untuk meningkatkan keberhasilan pengeluaran padi negara bagi menambah kadar penuaian.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kebanyakan kawasan yang dilawatinya mempunyai masalah yang sama iaitu sistem pengairan yang tidak efektif.
Menerusi satu hantaran di Facebook miliknya, Mohamad menyatakan pentingnya naik taraf sistem air ini bagi menggalakkan lagi pengeluaran padi di negara ini.
“Naik taraf sistem infrastruktur air lengkap dari sumber air hinggalah ke penyaluran air ke tengah bendang, terutama kawasan pembangunan sistem tersier yang tersusun amat diperlukan dalam mengairi kawasan penanaman padi.
“Sebab itu saya tekankan naik taraf air perlu dilaksanakan mengikut Strategi Pertama dalam PINTAR: Pembangunan Kapasiti Industri dan Infrastruktur,” katanya menerusi hantaran berkenaan.
Mohamad turut berharap agar hasil tuaian akan bertambah dan hasrat untuk mencapai tahap sara diri (SSL) pengeluaran padi di negara dapat dicapai.
Pada 16 Januari lalu, Mohamad berkata Inisiatif ‘Gelombang Padi” digerakkan tahun ini bagi mengangkat industri padi dan beras negara ke tahap lebih cekap dan berdaya tahan.
Beliau berkata, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menggariskan 12 program untuk dilaksanakan menerusi inisiatif itu yang merupakan ‘pencetus perubahan’ bagi transformasi industri padi dan beras negara antaranya memperkenalkan dasar baharu Insentif Benih Padi Sah (IBPS).
Baca juga: