Seorang lelaki warga emas yang dalam keadaan lumpuh ditemui rentung akibat kebakaran di sebuah rumah kedai di Kampung Baru, Ayer Tawar, Perak pada Ahad.
Difahamkan, mangsa Loo Leng Wion, 90, ditemukan oleh anggota penyelamat selepas hampir empat jam operasi pemadaman.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Tawar dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 11.41 malam.
“Sebaik sahaja pasukan bomba tiba di lokasi, didapati kebakaran membabitkan kedai dua tingkat. Kebakaran dianggarkan kira-kira 70 peratus.
“Seorang mangsa ditemukan pukul 3.35 pagi berdekatan dengan pintu bilik di tingkat atas dan disahkan maut oleh pegawai kesihatan.
“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Operasi itu turut dibantu anggota dari BBP Sitiawan, BBP Pantai Remis, Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Teluk Intan, PBS Air Tawar dan PBS Pantai Remis.
Baca juga: