Malaysia, SEAMEO RECSAM kukuhkan bidang sains dan matematik serantau

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyambut baik kerjasama dengan Pusat Pendidikan Sains dan Matematik Serantau (SEAMEO RECSAM) bagi meningkatkan kemahiran khususnya dalam bidang kesihatan.

Perkara itu direalisasikan apabila Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni hadir ke sesi lawatan rasmi dengan Naib Presiden dan Setiausaha Pendidikan, Republik Filipina dan Presiden Majlis Pertubuhan Menteri Pendidikan Asia Tenggara (SEAMEO) ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Sara Duterte, di Setia Alam, Selangor pada Selasa.

Selain memberi fokus pendidikan di sekolah, usaha itu turut memberi impak kepada penyelidikan penyakit berjangkit, latihan untuk kawalan wabak penyakit, dan melaksanakan kursus pendek dalam parasitologi, entomologi, mikrobiologi dan epidemiologi.

Dianggarkan SEAMEO mempunyai 26 institusi di seluruh Asia Tenggara yang menjalankan program latihan dan penyelidikan dalam pelbagai bidang pendidikan, sains dan budaya.

Malaysia sebagai ahli SEAMEO telah menubuhkan tiga buah Pusat Serantau SEAMEO, iaitu Pusat Pendidikan Sains dan Matematik Serantau (SEAMEO RECSAM) di Pulau Pinang, SEAMEO SEN di Melaka dan SEAMEO TROPMED Malaysia di Selangor.

Rangkaian SEAMEO TROPMED Malaysia berjaya menghasilkan 695 graduan Diploma Gunaan Parasitologi dan Entomologi (DAP&E) dari 1970 hingga 2023, manakala 536 graduan untuk Diploma Mikrobiologi Perubatan (DMM) dari 1978 hingga 2023.

Sejajar dengan misi SEAMEO, objektif utama SEAMEO TROPMED adalah untuk menggalakkan kesihatan, mencegah dan mengawal penyakit di Asia Tenggara.

Dalam pada itu, sebagai Pusat Serantau bagi penyelidikan Mikrobiologi, Parasitologi dan Entomologi, IMR telah menjadi tapak permulaan matlamat ini sejak penubuhannya pada tahun 1966.

Lawatan tersebut turut dihadiri oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek sekali gus membuktikan kerjasama kukuh antara kedua-dua negara, selain mencerminkan komitmen Malaysia dalam memastikan masyarakat seiring dengan kemajuan dan kualiti hidup rakyat di Asia Tenggara dalam bidang pendidikan dan kesihatan.

Baca juga:

https://malaysiabangkit.com/2024/02/12/ancaman-hepatitis-c-bawaan-warga-asing/

Anda Mungkin Berminat