Pengundi muda jadi penentu pemilihan Presiden Indonesia yang baharu

Setelah hampir dua bulan berkempen, kira-kira lebih 204.8 juta pengundi di Indonesia akan memilih Presiden baharu untuk tempoh lima tahun akan datang bagi menggantikan, Presiden Joko Widodo pada pilihan raya umum republik berkenaan pada Rabu.

Pengundi muda menjadi tarikan dalam pilihan raya itu apabila golongan berumur bawah 40 tahun menjadi kelompok teramai.

Sementara itu, generasi Milenium dan Gen Z mewakili 54 peratus daripada jumlah pengundi yang layak seawal usia 17 tahun untuk menunaikan tanggungjawab mereka.

Antara perkara berbangkit yang mencuri tumpuan masyarakat apabila calon presiden telah berikrar untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara dan akan memperluaskan peluang perdagangan.

Dalam pada itu, media melaporkan, bekas Menteri Pertahanan, Prabowo Subianto kekal mendahului saingan.

Beliau bertanding buat kali ketiga setelah kalah pada 2014 dan 2019 kepada Jokowi dan kini bergandingan dengan anak sulung Jokowi, Gibran Rakabuming Raka, sebagai regu untuk calon naib presiden.

Prabowo yang berhadapan dengan pesaingnya, Anies Baswedan dan Ganjar Pranowo memberitahu, pada hari terakhir berkempen bahawa beliau yakin akan memenangi pemilihan tersebut.

“Semua angka menunjukkan begitu, semangat akar umbi. Semua angka menunjukkan bahawa kami akan pergi dalam satu pusingan,” ujarnya.

Sebanyak 820,161 Tempat Pemungutan Suara (TPS) di 38 provinsi membuka pintu kepada para pengundi selama enam jam bermula 7 pagi sehingga 1 tengah hari.

Presiden Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi bakal menamatkan penggal kedua dan terakhirnya pada Oktober.

Baca juga:

https://malaysiabangkit.com/2024/02/13/bimbang-alami-kecederaan-serius-maggie-cheung-sanggup-insurans-satu-badan-untuk-rob-n-roll/

Anda Mungkin Berminat