Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj mengingatkan semua pihak agar menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan dan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang utama negara yang perlu sentiasa disokong rakyat.
Sultan Sharafuddin selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) bertitah demikian pada Mesyuarat MKI Kali ke-71 di Putrajaya pada Khamis.
Dalam titah Baginda menerusi satu kenyataan pada Khamis, Baginda bertitah agar saling berusaha untuk mencari jalan bagi mengatasi segala permasalahan yang timbul dengan mengkaji kaedah memperluaskan kompetensi Badan Perundangan Negeri untuk menggubal undang-undang jenayah syariah dalam kerangka yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.
“Usaha-usaha ini termasuklah mengkaji sekiranya ada keperluan untuk mencadangkan pindaan kepada peruntukan tertentu Perlembagaan Persekutuan dan/atau undang-undang Persekutuan yang berkaitan, bagi memastikan kuasa Badan Perundangan Negeri untuk menggubal undang-undang jenayah syariah termaktub secara jelas dalam Perlembagaan Persekutuan tanpa sebarang kekaburan ‘ambiguity’,” titah Baginda.
Baginda turut bertitah, semua pihak terutama ahli-ahli politik, pengamal undang-undang, para akademik dan rakyat biasa telah membuat pelbagai ulasan dan tafsiran terhadap keputusan kes tersebut dan terdapat ulasan yang memberi penjelasan sebenar tentang kesan kepada keputusan kes tersebut.
Baginda bertitah, telah tiba masanya umat Islam semua bersatu demi kekuatan umat Islam, apabila umat Islam kuat dan bersatu-padu, masyarakat bukan agama Islam akan menghormati umat Islam.
“Di samping itu pentadbiran agama Islam di negara ini perlulah bebas dari pengaruh politik kepartian dan amalan mempolitikkan setiap urusan agama.
“Teguran beta ini tidak dimaksudkan kepada mana-mana pihak malah Beta mengingatkan kepada semua ahli-ahli politik agar jangan mengambil kesempatan untuk mempolitikkan setiap isu yang melibatkan agama Islam sehingga ianya menjadi modal kepada persengketaan politik yang tiada berkesudahan,” titah Baginda.
Dalam pada itu, Sultan Selangor turut menyeru umat Islam di negara ini agar terus memperkukuhkan komitmen terhadap perpaduan dan ukhuwah yang selama ini menjadi teras kepada kemajuan negara.
Turut hadir dalam mesyuarat itu adalah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Agama Mohd Na’im Mokhtar.
Baca juga: