Pengarah siri filem popular, Money Not Enough, Jack Neo memberitahu pelakon, Mark Lee pernah menyuarakan hasrat untuk tidak lagi melibatkan diri dalam naskhah komedi tersebut.
Katanya, aktor itu berpendapat bahawa selepas kejayaan dua siri filem Money Not Enough, naskhah tersebut sudah dianggap klasik.
Bagaimanapun, perkara sebaliknya berlaku apabila Mark Lee kembali menyertai pembikinan filem tersebut bersama dua lagi sahabatnya.
Penglibatannya itu sekali gus ‘mematikan’ penantian selama 16 tahun untuk menyaksikan filem tersebut diangkat ke layar perak.
“Saya berharap agar filem ini membawa perasaan berbeza kepada semua peminat yang mungkin pernah menonton dua siri filem ini terdahulu. Usia kami semua, jika digabungkan melebihi 180 tahun!
“Saya mengenali mereka sejak mula berkecimpung dalam dunia komedi dan seni. Tidak ramai yang masih boleh bekerjasama apatah lagi bergandingan selepas 20 tahun,” katanya.
Mengulas lanjut, Jack Neo berkata, babak letupan, pertempuran senjata dan peperangan tidak akan boleh menyaingi cabaran mengarahkan naskhah yang mempunyai skrip yang tebal!
“Apabila seseorang itu memiliki wang dan yang lainnya tidak mempunyai duit, apa yang akan mereka lakukan serta hasilkan adalah berbeza. Kelakuan seseorang ketika sedang kaya adakala membuat anda benci kepadanya.
“Anda juga boleh jadi takut kepadanya juga. Segelintir mereka mungkin tidak akan mengaku saudara dan melakukan perbuatan yang tidak baik. Saya percaya kita akan melihat atau mungkin melalui perkara sebegitu dalam hidup kita,” katanya.
Untuk info, filem tersebut diterbitkan oleh Hijack PictureS dan MM2 Entertainment dengan mengisahkan tentang tiga sahabat baik sejak kecil iaitu Ah Fai, Ah Qiang dan Ah Huang yang berdepan cabaran sehingga menjejaskan hubungan mereka hanya kerana wang.
Money Not Enough 3 yang ditayangkan pada 10 Februari lalu memperlihatkan gandingan tiga aktor yang merupakan sahabat baik iaitu Mark Lee, Henry Thia dan Jack Neo sendiri di samping penampilan Patricia Mok dan Xiang Yun.
Baca juga: