Seorang maut, 22 cedera dalam insiden tembakan rambang di bandar Kansas

Seorang maut dan 22 cedera dalam tembakan di bandar Kansas, Missouri, Amerika Syarikat (AS) pada akhir perarakan kemenangan Super Bowl Kansas City Chiefs, baru-baru ini.

Penguat kuasa di sana berkata, lapan mangsa yang cedera berada dalam keadaaan kritikal di samping tujuh dewasa dan sembilan kanak-kanak cedera parah berada dalam keadaan stabil.

Ketua Jabatan Polis Kansas, Stacey Graves berkata, pihak mereka bertindak segera selepas tembakan dilepaskan dan detektif bertugas juga membuka kertas siasatan secepat mungkin di samping pihak bomba memberi bantuan secepatnya kepada mangsa yang cedera.

“Seramai 22 orang telah ditembak dan seorang daripada mereka disahkan meninggal dunia,” katanya ketika sidang media.

Polis berkata, mereka telah menahan tiga suspek yang berkaitan dengan kes penembakan itu.

Namun, mereka tidak mendedahkan nama mana-mana mangsa dan tidak berkongsi maklumat mengenai suspek yang ditangkap.

Insiden itu terjadi di barat Stesen Union, stesen kereta api di Pusat Bandar Kansas di mana perarakan berkenaan tamat sekitar pukul 2 petang waktu tempatan dan ribuan peminat berkumpul untuk meraikan kemenangan kumpulan bola sepak AS, Kansas City Chiefs.

Laporan tempatan mengatakan pemain Kansas City Chiefs masih berada di atas pentas ketika berlaku tembakan yang pertama.

Tembakan itu menyebabkan orang ramai termasuk Datuk Bandar bersama keluarganya bertempiaran lari untuk menyelamatkan diri.

Lebih daripada 800 pegawai polis dan pihak bomba sudah berada di tempat kejadian untuk memantau perarakan tersebut sebelum kejadian menembak itu berlaku.

Polis juga masih menyiasat motif insiden tersebut berlaku dan mengumpulkan bukti sama ada bentuk fizikal dan digital di samping meminta mana-mana saksi yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu siasatan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat