‘Filem itu sangat bermakna, saya hanya mahu hasil titik peluh saya dipulangkan semula’ – Sarimah

Setelah sekian lama memendam rasa, akhirnya bintang filem era hitam putih, Datuk Sarimah Ahmad membuka mulut berkenaan insiden yang membuatkan hatinya berkecai sehingga mengalirkan air mata.

Meskipun pada awalnya seniwati legenda tanah air itu keberatan untuk berkongsi kisah tersebut, namun mengenangkan hasil titik peluhnya bersama arwah suami, Allahyarham Yusof Majid, beliau nekad bersuara untuk menuntut keadilan.

Katanya, empat filem terbitan Sarimah Productions telah dicuri oleh individu yang merupakan bapa kepada penyanyi terkenal.

Ketika insiden tersebut berlaku, beliau masih dalam keadaan bersedih setelah kehilangan suami tercinta. Disebabkan fikiran berkecamuk ketika itu, selain tidak mengetahui keseluruhan perjanjian yang telah oleh mereka bersama arwah suaminya.

“Pada ketika itu, dia dan seorang kawannya datang kepada saya dan menaburkan kata-kata manis, kemudian mengambil keempat-empat karya filem terbitan saya.

“Antara tajuk filem tersebut adalah Kabus Tengahari, Dia Ibuku, Jejak Bertapak dan Detik 12 Malam.

“Secara keseluruhannya, perjanjian bersama arwah saya tidak ketahui dengan lebih lanjut kerana tidak dimaklumkan dan saya diberikan dokumen untuk ditandatangani walhal, saya sedang bercelaru kerana arwah baru sahaja pergi (meningal dunia),” katanya kepada Malaysia Bangkit.

Selain itu, Sarimah, 82, turut memohon agar empat filem terbitannya itu dapat dipulangkan semula sejak dari kejadian yang berlaku 36 tahun yang lalu.

“Semua filem itu amat bermakna bagi saya, saya hanya mahu hasil titik peluh saya dipulangkan semula seperti dijanjikan sebelum ini.

“Sekurang-kurangnya saya mendapat sedikit royalti menerusi filem itu dan sepatutnya sudah cukup untuk membayar hutang yang ada.

“Saya juga sampai tahap tidak mahu melihat filem tersebut kerana berasa sedih yang teramat sangat. Mana janji-janji nak pulangkan semula? Sudah 36 tahun saya menunggu namun tiada khabar berita langsung,” ulasnya sebak.

Dalam pada itu, aktres yang memegang watak sebagai Marjina dalam Ali Baba Bujang lapok itu turut berbesar hati jika sekiranya pihak Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dapat membantu dalam mendapatkan semula keempat-filem terbabit.

“Saya merayu kepada kerajaan menerusi Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil agar dapat membantu untuk mendapatkan semula kesemua filem yang sudah menjadi titik peluh dan suami,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Sarimah turut menerima sumbangan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Setiausaha Politik, Ahmad Farhan Fauzi dalam kunjungan Program Ziarah Madani ke kediaman beliau pada Khamis.

Selain Sarimah, aktor Dharma Harun Al-Rashid turut menerima kunjungan dan sumbangan daripada Farhan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat