Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan sindiket yang dikatakan Program Rekalibrasi (RTK) 2.0 dalam satu Operasi Khas pada Rabu lalu.
Ketua Pengarah JIM, Datuk Ruslin Jusoh berkata, berdasarkan aduan dan risikan yang dijalankan selama dua minggu, pasukan operasi berjaya mengesan dan menahan seorang lelaki warganegara Bangladesh.
“Lelaki warganegara Bangladesh berusia 31 tahun disyaki bertindak sebagai ‘dalang utama’ sindiket berkenaan. Semasa ditahan, suspek tidak mempunyai pas yang sah untuk berada di negara ini.
“Pasukan operasi telah merampas wang tunai sebanyak RM2,000, 188 naskhah pasport Bangladesh, lima naskhah pasport Indonesia, empat naskhah pasport India, empat naskhah pasport Pakistan, empat naskhah pasport Nepal, senaskhah pasport Thailand serta pelbagai borang permohonan Program RTK 2.0 dan sebuah komputer riba,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Suspek warga asing yang ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963 yang ditahan di Depot Imigresen Malaysia, Putrajaya untuk siasatan lanjut.
Katanya, objektif sindiket itu menyasarkan warganegara dari negara berpotensi seperti Bangladesh, India, Pakistan, Indonesia, Nepal dan Thailand yang mempunyai masalah di Malaysia seperti tiada dokumen pengenalan diri dan visa.
Difahamkan, suspek akan mencari dan menjerat mangsa sebelum menawarkan perkhidmatan kononya Program RTK 2.0 di Pejabat Imigresen yang telah beroperasi selama setahun dan mengenakan bayaran sekitar RM7,000 bagi setiap PATI.
Sementara itu, seorang wanita warganegara Malaysia diberikan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan.
Pihak JIM turut akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).
Baca juga: