Cakra Khan terima kejutan, Eerah datang bawa burger ‘kahwin’ atas pentas 

Penyanyi popular Cakra Khan menerima kejutan apabila didatangi peniaga burger yang juga orang kelainan upaya (OKU), Jaheerah Nadzri ketika membuat persembahan konsert Cakra Khan A Decade Live In Kuala Lumpur di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Sabtu. 

Kemunculan Jaheerah atau mesra disapa Eerah, 30, turut mengundang rasa sebak dalam kalangan penonton, termasuk Cakra terutama selepas tayangan video yang menunjukkan gadis OKU itu cekal menjalankan perniagaan meskipun mempunyai kelainan keupayaan fizikal. 

Cakra terkejut itu turut tidak mampu menyembunyikan rasa terharu apabila Eerah muncul di atas pentas dengan membawa sebiji burger yang disediakan khas untuk dirinya.

“Apabila saya menonton videonya, telah menyedarkan saya bahawa ada hal yang patut saya syukuri (bersyukur). Awalnya saya bertanya kepada ramai orang, cara bagaimana ingin menghubunginya.

“Awalnya kata dia sibuk sewaktu saya buat video call (panggilan video). Waktu itu saya sudah katakan, bahawa saya ingin dia ada di konsert, saya terus jemput dia datang. Tetapi katanya tidak boleh sebab sibuk berniaga.

“Hal yang saya belajar daripada Eerah, dia sentiasa tabah (mempunyai harapan), bahawa kita dapat lakukan yang terbaik dalam hidup. Jujur kehadiranya benar-benar mengejutkan kerana seharusnya sebelum persembahan, saya rancang untuk berjumpa dengannya, tetapi mereka suruh saya buat latihan. Rupanya ada kejutan,” katanya dalam majlis sidang media usai konsert tersebut selesai. 

Dalam kejutan itu Cakra menerima sebiji burger ‘kahwin’ yang dimasak sendiri oleh Eerah. Cakra bahkan sempat menilmati hidangan tersebut di atas pentas dan memberikan pelukan kepada Eerah.

Tambah Cakra, perkara sebegitu turut menjadi kejutan yang pertama kali dia lakukan, memandangkan dia sebelum ini tidak pernah berbuat demikian dalam mana-mana konsert termasuk di Indonesia. 

“Tidak pernah, inilah yang pertama,” katanya yang turut menyanyikan lagu Jangan Mudah Putus Asa sempena terinspirasi dengan keazaman dan ketabahan Eerah. 

Dalam pada itu, konsert Cakra Khan A Decade Live In Kuala Lumpur tersebut turut menyaksikan persembahan hebat daripada bintang terkenal iaitu Judika, (Datuk Seri) Rossa dan Dayang Nurfaizah. 

Konsert anjuran Seven Skies Motion Sdn Bhd turut menyaksikan persembahan muzik diiringi orkestra yang diketuai maestro tersohor, Datuk Ramli MS.

Antara lagu yang dinyanyikan Cakra ialah Mencari Cinta Sejati, Salah Tapi Baik, Kepada Hati, Rindu Tak Bersuara, Setelah Kau Tiada, Semerah Padi, Kekasih Bayangan, Nanti dan Bukan Dia Tapi Aku. 

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat