Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Selangor telah menahan 132 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk 41 wanita, sembilan kanak-kanak perempuan dan empat kanak-kanak lelaki dalam serbuan di sebuah penempatan haram di Setia Alam, Shah Alam, awal pagi Ahad.
Mereka yang ditahan menerusi operasi selama kira-kira dua jam yang bermula dari pukul 2.38 pagi sekali gus seramai 156 warga asing diperiksa dan daripada jumlah tersebut, 132 mereka telah ditahan.
Warga asing yang ditahan terdiri daripada 130 warga Indonesia dan dua warga Bangladesh.
![](https://malaysiabangkit.com/wp-content/uploads/2024/02/428340558_708857201425908_7851699650137064706_n-1024x683.jpg)
Tuan Jafri Embok Taha selaku Timbalan Ketua Pengarah Imigresen bahagian Operasi telah mengetuai dan berganding bahu menjalankan Operasi Penguatkuasaan Imigresen bersama pelbagai agensi lain yang berkenaan.
JIM menerusi satu hantaran di Facebook, memaklumkan bahawa pelbagai agensi lain terlibat dalam menjalankan operasi itu terdiri seramai 220 orang anggota dan turut disertai oleh Pengarah Imigresen Negeri Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin.
Antara agensi yang terlibat adalah daripada Bahagian Penguatkuasaan JIM Selangor, Bahagian Penguatkuasaan JIM Putrajaya, Bahagian Perisikan dan Operasi Khas JIM Putrajaya, Majlis Bandaraya Shah Alam, Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Pendaftaran Negara dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.
Difahamkan kesemua mereka dipercayai tinggal di penempatan tersebut bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa dan ketika serbuan dilakukan di lokasi, terdapat cubaan untuk meloloskan diri namun tindakan tersebut gagal.
![](https://malaysiabangkit.com/wp-content/uploads/2024/02/428448403_708857708092524_4330681074062366558_n-1024x683.jpg)
Antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk tiada dokumen pengenalan diri dan tinggal lebih masa serta lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Semenyih untuk tindakan lanjut.
Baca juga: