Kementerian Komunikasi melancarkan Kod Etika Wartawan Malaysia sebagai usaha untuk mengurangkan penularan berita palsu terutama menerusi platform digital.
Kata Menterinya, Fahmi Fadzil, langkah itu bagi memastikan kualiti berita dilaporkan lebih telus dan selaras dengan Kod Etika Wartawan yang diperbaharui bagi menggantikan Kod Etika Wartawan 1989.
“Ini merupakan kod yang diperbaharui menggantikan Kod Etika Wartawan 1989 iaitu 35 tahun yang lalu yang dimurnikan oleh Jabatan Penerangan.
“Kita sebagai penerima maklumat perlu meneliti dan menilai berita yang diterima untuk mengurangkan penyebaran berita palsu yang semakin pesat tersebar di dunia maya.
“Semoga kod ini dapat memberi panduan terbaik kepada pengamal media sebagai mata, telinga dan lidah dalam menyampaikan isu semasa,” katanya ketika melancarkan Kod Etika Wartawan di Dewan Serbaguna, Kementerian Komunikasi, Putrajaya pada Selasa.
Fahmi turut menyatakan Kod Etika Wartawan Malaysia baharu itu terdiri daripada lapan etika utama yang ditambah baik bagi panduan pemberitaan para pengamal media.
Antara etika tersebut ialah telus dan berintegriti, berlaku adil dalam menyampaikan informasi, pemberitaan tidak dipengaruhi kepenting, menghormati privasi dan kerahsiaan sumber dan perlu memahami undang-undang, akta serta polisi.
Penyediaan Kod Etika Wartawan Malaysia melibatkan Fakulti Komunikasi, Universiti Sains Malaysia dan Pusat Kajian Media dan Komunikasi, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Ketua Pengarah Penerangan, Datuk Mohd Sukari Ab Hamid.
Baca juga: